My Blog List

Hari Kemerdekaan Ke-52

Thursday, October 8, 2009



Alhamdullillah dipanjatkan kepada Allah S.W.T. kerana dengan kehendakNya dapat lagi kita bertemu lagi bersempena sambutan kemerdekaan yang ke-52.

Sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam kita seharusnya rasa bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan ini. Kita juga harus berterima kasih kepada pemimpin kita sebelum ini yang telah memacu negara ini ke puncak kejayaan. Urutan ketaatan kita yang pertama kepada Allah, kemudian kepada rasul selanjutnya kepada pemimpin, baik pemimpin agama ataupun pemimpin negara selama masih berada di dalam koridor Islam.Maka taat kepada pemimpin adalah wajib. Oleh yang demikian kita sebagai rakyat yang patuh seharusnya tidak boleh menderhaka selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Dalam kita menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya, kita perlu melihat merdeka itu bukan bermaksud membebaskan negara ini daripada penjajah semata-mata, malah kita juga hendaklah membebaskan minda dan pemikiran kita daripada dipengaruhi oleh ideologi-ideologi pemikiran mereka yang tidak bersesuaian dengan adat budaya ketimuran kita bahkan menyeleweng daripada akidah Islam yang benar.

Sehubungan itu, sambutan hari kemerdekaan yang sering disajikan dengan program hiburan seperti konsert yang menyebabkan berlaku pergaulan bebas, penggunaan pil khayal, bahkan ada yang membawa kepada perlakuan sumbang antara lelaki dan perempuan mestilah dielakkan kerana ia merupakan terjemahan sikap menderhaka kepada Allah SWT.

Selain daripada itu, masyarakat kita masih alpa dan lena dibuai dengan hiburan dan keghairahan untuk berseronok sehingga lupa untuk menghargai nikmat kemerdekaan apatah lagi untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah yang merdeka di bumi yang bertuah ini, tetapi memilih jalan untuk menderhaka kepada penciptaNya. Bukankah lebih baik diisi malam kemerdekaan dengan perkara-perkara yang berfaedah sebagai tanda mensyukuri nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi selama 52 tahun kerana nikmat kemerdekaan ini tidak semestinya berpanjangan.

Oleh yang demikian, sebagai ibu bapa dan masyarakat yang prihatin, marilah kita sama-sama membentuk anak-anak muda kita supaya memahami erti sebenar kemerdekaan. Semoga generasi yang akan datang akan lahir pemimpin yang dapat diharapkan komitmennya dalam membangun bangsa dan negara.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails