My Blog List

Selamat Hari Raya Aidiladha 1431 H

Tuesday, November 16, 2010

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1431 H kepada semua muslimin dan muslimat di negara ini.

Seperti biasa sebagai umat Islam yang patuh kepada Allah s.w.t. dan segala perintahnya kita akan menyempurnakan ibadah korban dengan melakukan penyembelihan seperti yang disunatkan oleh agama kita.

Korban pada zahirnya disunatkan ke atas kita yang mampu untuk membuat penyembelihan ke atas binatang seperti lembu, kambing dan sebagainya agar dagingnya dapat diagih-agihkan kepada golongan fakir dan miskin yang tidak berkemampuan.

Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah s.w.t. agar jemaah haji kita di tanah suci dapat melakukan ibadah mereka dengan sempurna dan agar mereka dikurniakan haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat. Semoga pengalaman mereka di tanah suci dapat kita manfaatkan untuk mempertingkatkan keimanan kita. Sekian dari saya. Wassalam


Asal-Usul Aidiladha

Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.

Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”

Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”

Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T.


Peristiwa ini ada diterangkan dalan surah Ash-Shaffat ayat 101 hingga ayat 111

Related Posts with Thumbnails